
Pelbagai gejala negatif hari ini dikaitkan dengan kelompok belia. Belia yang tiada prinsip kehidupan dan lemah jatidiri ini akan mudah terpengaruh dengan persekitaran yang melalaikan.
Namun, di sebalik realiti yang semakin mencengkam ini, alhamdulilLah, berkat keizinan-Nya, Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) telah berjaya membimbing sebahagian dari belia hari ini dalam mendepani cabaran semasa melalui gerak kerja kesukarelawanannya.
Di kala kebanyakan belia hari ini hanyut dengan hambatan hidup berteraskan materialisme dan arus keseronokan, sebahagian dari sukarelawan GPTD telah menyumbangkan masa terbaik dalam hidup mereka (masa muda) untuk berbakti kepada masyarakat di dalam dan luar negara.

Tidak kurang pula ramainya sukarelawan yang berbakti di tanah air dalam setiap kesempatan yang ada. Pelbagai bentuk aktiviti dicetuskan oleh GPTD, baik dalam bentuk diskusi ilmiah, kempen kesedaran, kembara, aktiviti lasak bahkan kesenian. Kesemua pendekatan itu bertujuan untuk memupuk jiwa sukarelawan di kalangan peserta dan memantapkan jatidiri belia.
Sudah tentu untuk melaksanakan semua gerak kerja yang dinyatakan di atas, pendedahan dan latihan yang secukupnya amat diperlukan. Ramai sukarelawan perlu dilatih untuk menjayakan misi ini.
Justeru, dengan kesedaran pada kepentingan mencegah gejala sosial, pemantapan jatidiri seterusnya membangunkan potensi belia hari ini, Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) terpanggil untuk meneruskan penganjuran Kem Asas Sukarelawan dan Jatidiri (SAKTI) buat kali ke-5.
Program ini akan memberi pendedahan kepada realiti hari ini yang kian mencabar, seterusnya mempersiapkan peserta menghadapinya dengan ilmu dan kebijaksanaan dengan meneladani contoh dari generasi terdahulu.
Tujuan Umum Penganjuran

Peserta yang terpilih akan ditawarkan untuk menyertai gerak kerja kesukarelawanan di peringkat seterusnya, sehingga mereka mampu untuk berdikari dalam memimpin gerak kerja seumpamanya.
Kerjasama daripada pihak kerajaan dan swasta yang berterusan amat diperlukan bagi merangsang pembangunan positif di kalangan belia (positive youth development – PYD) dalam meningkatkan kualiti belia yang bakal mengambil alih kepimpinan generasi di masa akan datang.
Di samping itu, dengan sokongan semua pihak terhadap program seumpama ini, ia diharapkan dapat mengatasi isu gejala sosial yang semakin menular di dalam masyarakat hari ini.
No comments:
Post a Comment